[WAJIB BACA!] KISAH ROTI EXPIRED


Ayah saya tak kaya. Menetap di Felda sebagai peneroka peringkat ke-2 yang masuk pada tahun 1984 bukanlah satu perkara yang menarik. 5 tahun pertama, arwah emak selalu pujuk ayah tinggalkan Felda untuk balik ke kilang kelapa sawit estet di Bukit Kerayong. Tidaklah mewah tetapi hampir dengan saudara mara dan ada pendapatan bulanan disamping rumah kilang yang diberi dengan elektrik percuma. 

Mudahnya, kami bukan orang senang walaupun hari ini orang ingat orang Felda ni kaya rayadapat 10 ekar FREE (siapa kata? mak ayah kami bayar potong bulan-bulan tau). 

Makan tidak ada masalah sangat kerana banyak benda dah tanam dan ternak sekitar rumah suku ekar. Cuma beli garam, gula dan ikan sahaja. Itupun ikan jika musim kemarau kita timba sungai dapatlah stock ikan 1-2 bulan (pekasam sampai 1 tahun). Nak makan telur, kutip sahaja sangkak telur bawah rumah tempat ayam bertelur. Ambil semua, tukarkannya dengan bola pingpong (kalau tak, ayam taknak bertelur lagi di situ). Itulah masalah ayam, tak belajar matematik untuk kira telur dia ada. 

ROTI EXPIRED

Roti sudah dikira makanan mewah. Tengok TV buka drama "PJ HOLDING" cerita orang kaya-kaya makan pagi dengan roti dengan butter. Kita pun teringin juga cuma roti ketika itu kalau yang ada pun, roti Superloaf Cap Superman RM0.70 sebuku. RM0.70 sudah dikira mahal kerana peneroka Felda jarang ada tunai dalam tangan kecuali kita rajin buat kerja-kerja sampingan. 

Seminggu 2 kali, van putih bawa roti cap superman akan kutip semula semua roti di kedai yang sudah tarikh luput di sekitar Kerayong sampai ke Bera. Mereka buang dihujung block Felda saya. Ada sungai di situ. Ayah saya bagitahu, masa dia minum di kedai Wak Maskum tu, dia sempat tahan van roti. Ayah beli 1 guni RM1. Itu kira duit masuk pocket pemandu lah tu. 

Roti dah luput tarikh sehari dua. Ada yang dah nampak kulatnya seperti dalam gambar ini, dan ada yang masih belum nampak kulatnya. 

Nak beli sebuku yang belum luput, RM0.70 tapi ayah beli RM1 dapat seguni (dalam 30 buku lebih). Balik rumah sahaja, kami belasah dahulu. Tulah...tak belajar matematik, mana tahu luput ke tak. Puas lah makan roti tu dengan pelbagai cara. Roti sapu planta, roti cicah kopi, roti bakar, roti gula dan macam-macam lagi. 

Esok harinya, kami dah tak nampak lagi roti tu. Balik sekolah sahaja, tengok emak dah bakar roti tu semua dalam oven dengan butter dan gula. Lalu, jadilah roti itu BISKUT ROTI DAN GULA. Tarikh luput dapat dipanjangkan. 

Mulanya untuk makan sendiri, tetapi saya dapat pergi sekolah bawa dan jual. 1 hari bawa 2-3 buku (saiznya) dan dapat jual sehari dalam RM2-3. Stock RM1 yang ayah bawa balik tu boleh tahan 1 minggu. Secara pengiraan RM2.50 sehari x 5 = RM 12.50 seminggu. Pulangan berganda untuk roti yang dah nak expired. Itu tak masuk yang kami buat cicah dengan kopi dan Milo pagi-pagi. 

Setelah dibakar, roti itu dapat dilanjutkan lagi tarikh luputnya. Agaknya kerana spora kulat yang melekat tu dah mati semasa pembakaran dalam oven tu. Kos gula dan marjerin bukan mahal mana pun. Tapi cukup baik lah untuk buat business kecil-kecilan. 

Ayah saya cuma nak bagi anak-anak dia merasa makan roti, bukan buat business. Tapi kebijaksanaan emak mengolah makanan membuka peluang perniagaan kepada saya. Hampir 1 tahun juga kami makan roti luput tarikh sebelum van roti itu tidak lagi melalui tempat kami. Pernah terjumpa sekali di Triang, pemandu van itu dah pandai jual roti yang dibuang itu kepada penternak ikan. 

Penternak beli dengan harga RM0.10 sebuku roti. Di situ, penternah juga bijak kerana mampu potong kos penternakan dan pemandu van juga bijak kerana ada tempat untuk jual roti luput tarikh dengan harga lagi tinggi. Saya? Cari lah business lain...

Hidup ni taklah susah sangat untuk orang rajin dan tak malah berfikir. Jika mengeluh semata-mata dan mengharapkan semua orang lain hulur, tak ke manalah kita nanti. 

Ini salah satu dari perniagaan yang saya buat semasa kecil dahulu. Perniagaan saya semuanya tak guna modal tinggi. Sampailah perniagaan hari ini 

Yang penting, kita rajin memerhati peluang dan tangkap peluang apabila ia melaluinya. Hari ini kita berdoa Allah murahkan rezeki kepada kita lalu Allah utuskan PELUANG untuk temui kita. Peluang itu lalu lalang di hadapan kita saban hari NAMUN tidak pun kita ambil peluang itu. Malamnya kita mengeluh lagi dan menadah tangan di atas tikar sembahyang dan berdoa akan skrip yang sama. 

Adakah kita harap, rezeki Allah beri itu terus masuk dalam akaun bank?

Berusahalah - mymediahub

0 Response to "[WAJIB BACA!] KISAH ROTI EXPIRED"

Post a Comment