Hanie Soraya tak melatah dibayangi Amy Mastura | Masih terlalu hijau dalam industri muzik tanah air, namun siapa sangka pemilik lagu Hujung Dunia yang menjadi siulan anak muda masa kini merupakan milik seorang gadis genit berusia 20 tahun.
Dikenali dengan nama Hanie Soraya, ramai peminat industri hiburan tanah air menyangka lagu Hujung Dunia nyanyiannya yang sering dimainkan di corong-corong radio merupakan milik penyanyi dan pelakon Amy Mastura. Ini kerana vokal Hanie mirip Amy Mastura.
Tidak melatah dengan salah faham tersebut, Hanie bagaimanapun menganggap ia merupakan satu penghormatan. Baginya selagi lagunya diterima oleh peminat ia sudah cukup memuaskan hatinya.
“Mungkin ramai yang masih belum mengenali saya memandangkan ketika lagu itu dimainkan di radio, saya sedang berada di Universiti Mansoura, Mesir melanjutkan pengajian saya dalam bidang perubatan.
“Disebabkan kekangan itulah saya agak jarang mempunyai peluang untuk bersua muka dengan peminat supaya mereka dapat mengenali saya dengan lebih dekat,” ujarnya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka stesen Radio Era FM di Restoran Bora Ombak, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai perkembangan seni dan juga pelajarannya, Hanie berkata, pada usia yang masih terlalu muda, dia terpaksa menghabiskan pengajiannya dalam bidang perubatan di Mesir dan baki pengajiannya masih tinggal empat tahun.
“Buat masa sekarang, saya akan cuba sedaya upaya untuk membahagikan masa saya di antara bidang nyanyian dan bidang pengajian. Saya lebih mengutamakan bidang pengajian saya. Jika saya bercuti semester baru saya akan menumpukan perhatian dalam bidang nyanyian.
“Saya akan cuba seiringkan bidang nyanyian dan bidang pelajaran sebaik mungkin dan saya juga bersyukur pihak pengurusan saya di bawah kendalian penyanyi tersohor, Faizal Tahir telah merancang dengan rapi perjalanan kariernya,” katanya.
Bercerita dengan lebih lanjut mengenai pembabitan awalnya dalam bidang muzik, Hanie mengakui Faizal merupakan orang yang bertanggungjawab mengenengahkan bakatnya.
“Dia (Faizal) merupakan seorang guru yang baik. Dia banyak mengajar saya mengenai bidang seni dan selok-belok menjadi seorang anak seni. Walaupun terpaksa membahagikan masa antara bidang seni dan pelajaran, Faizal bijak mengatur kerjaya seni juga.
“Dia juga tidak kekok menerima pendapat daripada budak baharu seperti saya dan saya sangat berpuas hati kerana dia sangat memahami saya,” luahnya.
Tambah Hanie, dia kini sedang sibuk menyiapkan single keduanya bersama Faizal. Berbincang dengan lebih lanjut mengenai single keduanya itu, Hanie berkata, ia tidak lari jauh daripada genre Hujung Dunia.
“Single tersebut juga banyak berkisar mengenai pengalaman hidup saya. Insya-Allah single ini akan mula dirakam pada September ini sebelum saya pulang menyambung pengajian di Mesir,” katanya.
Artikel Penuh : kosmo.com.my
0 Response to "Hanie Soraya tak melatah dibayangi Amy Mastura"
Post a Comment