Indahnya cinta Siti Saleha | Kalau kita sebut nama pelakon ini lima atau enam tahun lalu pastinya ada yang terpinga-pinga. Namun kini nama Siti Saleha cukup sinonim sebagai pelakon wanita pilihan ramai. Kita lupakan sekejap kata-kata yang pernah melabelkan dia menggunakan wajah kacukan sebagai tiket untuk memasuki industri. Memang tidak dinafikan dia memiliki kecantikan seorang wanita, tetapi itu hanya bonus memandangkan kekuatan lakonannya kini lebih dipercayai peminat.
Masih mahu menetapkan lingkungan privasi diri walaupun kini cukup dikenali, Saleha yang kini berusia 24 tahun bagaimanapun perlu akur dia hanya wanita biasa yang cukup bahagia dengan cinta seorang lelaki kini.
Tiada sebab untuk dia menyembunyikan soal cinta yang semakin mekar terhadap lelaki bertuah tersebut memandangkan asas hubungan mereka dibina melalui kepercayaan. Bagaimanapun, pengakuan itu tidak membuatkan dia punya toleransi untuk mendedahkan segala-galanya, perihal lelaki berkenaan.
Masih ada yang perlu dilindungi, dan Saleha memohon dirinya diberikan sedikit lagi masa untuk itu.
Kami tiada masalah memandangkan keserasian yang wujud sangat kuat di antara kami. Tidak dinafikan kami berbeza budaya, tetapi semuanya itu tidak ada masalah selain agama.
Saya selalu bangkitkan soal (agama) ini dengan dia, tetapi akhirnya memang buntu. Memandangkan kami berdua tidak lagi memikirkan soal perkahwinan, kami fikir mungkin masa akan memudahkan semuanya nanti untuk kami terus bersama," katanya positif.
Enggan menjelaskan identiti jejaka yang yang berasal dari Portugal itu, Saleha tidak berselindung antara kelebihan hubungan ini adalah mereka berdua terus jatuh cinta walaupun usia hubungan ini sudah setahun. Walaupun kini kekasihnya itu sudah kembali ke negara asal, tiada sebab untuk dia menolak terma cinta jarak jauh.
Dengan pelbagai cabaran saya masih bersama dia, memang hubungan ini sangat kuat. Setiap hari masih terasa kehangatan cinta tersebut walaupun sudah setahun hubungan kami berjalan.
Buat masa ini dia sudah berada di sana, tetapi saya okey dia juga dengan hubungan jarak jauh ini. Memandangkan pekerjaan dia sentiasa berpindah randah jadi benda ini biasa buat kami," katanya.
Lima Syawal lalu, dia berangkat ke Amsterdam dan Portugal, tidak dinafikan atur cara percutian ini turut memuatkan lawatan ke rumah keluarga kekasihnya di sana. Nampaknya ini merupakan kali ketiga dia bertemu keluarga kekasihnya itu. Balas Saleha melalui layanan yang diterima dia percaya hubungannya mendapat restu.
Ini kali ketiga saya bertemu keluarga dia, kali pertama tahun lepas, kemudian mereka sekeluarga ada datang ke Kuala Lumpur dan yang terbaru saya ke sana pula.
Mereka sangat baik, bagaimanapun perbezaan bahasa sedikit menyukarkan saya memahami apa yang cuba disampaikan. Tetapi ada usaha daripada ibunya yang cuba menuturkan bahasa Inggeris, menyentuh hati saya," katanya.
Jika keluarga kekasih sudah menerima baik, apa pula kata lelaki Utama" dalam hidup Siti Saleha Mohd Baharum ini? Balas Saleha sebagai seorang anak yang rapat dengan ayahnya, dia tahu ada getar yang sukar dia tafsirkan dalam hati lelaki bergelar ayah itu. Tidak menolak ada ketika ayahnya melarang dia mengahwini lelaki asing, tetapi itu lebih kepada getaran normal di hati seorang ayah yang takut kehilangan anaknya.
Ayah saya sudah bertemu dengan kekasih saya, semuanya nampak okay. Malah mereka juga sering menjadikan topik bola atau politik sebagai sumber perbincangan.
Pernah dia menyatakan kesedihannya kepada saya yang jika mengahwini lelaki asing kelak, saya terpaksa mengikuti suami meninggalkan Malaysia. Tetapi saya balas kembali, ayah juga pernah melakukan perkara yang sama (mengahwini wanita asing), tidak perlu risau. Secara jujurnya saya tidak akan tinggalkan ayah, sebab saya mahu menjaga dia,"katanya.
Artikel Penuh : utusan.com.my
0 Response to "Indahnya cinta Siti Saleha"
Post a Comment