Pesawat Tambang Murah India Terbakar | Pesawat syarikat tambang murah India, IndiGo yang membawa 147 penumpang dan enam anak kapal dilaporkan terbakar ketika mendarat tetapi tiada seorang pun yang cedera.
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan berkata Penerbangan 6E-176 dari Mumbai ke Delhi membuat pendaratan biasa di Lapangan Terbang Delhi.
Pesawat berkenaan mendarat di Delhi di landasan 27 pada pukul 12.35 petang waktu tempatan.
"Sebaik sahaja kapten menerima maklumat daripada Menara Kawalan Trafik Udara mengenai asap tebal, beliau segera mengarahkan anak kapal memindahkan semua penumpang demi keselamatan mereka. Pemindahan itu dilakukan di laluan teksi selepas pesawat mendarat dengan selamat," kata kenyataan itu.
Semua penumpang dipindahkan melalui semua pelungsur di sebelah kanan dan satu pelungsur di sebelah kiri dalam masa kira-kira 75 saat.
Syarikat penerbangan itu mengesahkan bahawa semua penumpang dan anak kapal selamat dan dibawa ke bangunan terminal.
Beberapa penumpang yang mengalami cedera ringan semasa dipindahkan diberi rawatan dan jagaan oleh pasukan lapangan terbang dan lima anggota pasukan Bantuan dan Penjagaan Keluarga (FAC).
Bagaimanapun, semua penumpang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Siasatan lanjut mengenai insiden itu sedang dijalankan.
"Keselamatan semua penumpang dan anak kapal adalah menjadi keutamaan IndiGo dan tiada kompromi sama sekali mengenai aspek keselamatan," menurut kenyataan itu. - mStar
0 Response to "Lagi Pesawat Tambang Murah Terbakar"
Post a Comment