Selepas muncul dengan penuh gaya pada 17 Ogos lalu, pelawak terkenal dari Jerman, Kaya Yanar akan muncul lagi di Hotel Renaissance Kuala Lumpur pada 22 Ogos ini.
Kaya, 44, yang dikenali menerusi siri komedi Was Guckst Du? (Apa Tengok Tengok?) akan membuat penampilan khas buat peminat tegar stand up komedi yang sememangnya mendambakan lawak lebih bersifat antarabangsa.
Ketika sesi sidang media yang diadakan baru-baru ini, Kaya yang telah diangkat sebagai pelawak nombor satu di Jerman tidak dapat menyorokkan rasa terujanya untuk beraksi di hadapan penonton di sini.
Ini adalah persembahan pertama saya di Malaysia dan merupakan kemunculan kedua di luar negara Eropah. Sudah pasti saya mahu berikan persembahan yang bertenaga dan mahu meninggalkan momen indah buat peminat di sini," kongsi Kaya.
Sejujurnya, pada awalnya dia kurang pengetahuan tentang Malaysia dan hanya bersetuju sebaik sahaja dapat jemputan dari pihak penganjur.
Sebab itulah saya mahu mengelilingi di setiap pelusuk negeri yang ada di Malaysia. Saya mahu tahu lebih banyak informasi tentang Malaysia dan saya mahu kaitkan setiap lawak saya itu dengan keindahan yang ada di negara ini.
Penjelajahan saya baru-baru ini bermula di negeri Melaka, kemudian di bahagian utara dan timur negeri di Malaysia," katanya.
Lawak Kaya banyak mengambil ilham dari masyarakat yang ada di sekeliling. Justeru, dia memilih jenaka berkaitan bahasa masyarakat tempatan untuk lebih dekat dengan penonton.
Adalah penting juga bagi Kaya untuk profesional dalam kerja dan tidak mengambil sebarang risiko berbicara isu sensitif.
Bagi saya, isu seperti penyakit, tragedi dan agama sebagai bahan jenaka sememangnya sesuatu yang tidak sesuai. Saya mahu penonton menerima lawak saya dengan perasaan gembira dan berhibur, bukanlah membuatkan diri mereka berasa kurang selesa," kata Kaya.
Berpengalaman selama lebih 15 tahun, Kaya sudah boleh berbangga dengan penerimaan peminatnya selepas merangkul banyak anugerah selain pernah muncul dalam filem Adventures in Zambezia, Viva la France dan Aget Ranjid Saves The World.
Selepas Malaysia, Indonesia dan Singapura antara negara yang bakal Kaya kunjungi.
Dalam Kaya Yanar Live In Kuala Lumpur yang berlangsung secara santai, penonton turut dihidangkan dengan empat jenis hidangan makan malam sambil berhibur menonton persembahan Kaya.
Harga tiket untuk persembahan pada 22 Ogos bermula pada harga RM60 hingga RM350. Persembahan pada hari tersebut akan diserikan lagi dengan penampilan seorang pendatang baharu dalam dunia seni tempatan, Natasha Sass yang bertindak sebagai pembuka tirai.
Tempahan tiket boleh dilakukan menerusi laman web www.myticket.asia atau menghubungi talian 03-80808700.
Artikel Penuh : utusan.com.my
0 Response to "Pelawak Jerman di Malaysia"
Post a Comment