Penyanyi Diandra Arjunaidi terasa amat dihargai apabila terpilih dan terlibat membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 16 September.
Dia bersama rakan-rakan artis yang lain seperti Man Kidal, Kumpulan Oag, Lab The Rat, Andy Flop Poppy dan Alex Subryn yang turut membuat persembahan yang dikenali sebagai Akustika I.
“Rasa amat bertuah, diusia yang muda ini, saya diberi peluang untuk beraksi di pentas yang sangat berprestij. DFP merupakan pentas idaman kepada penyanyi tempatan terutama golongan penyanyi muda,” katanya ditemui Murai.
Di malam persembahan itu nanti, 4 buah lagu yang Diandra akan nyanyikan iaitu Angkasa, Sunyi, Serba Salah serta Mencari Konklusi nyanyian asal kumpulan Hujan.
“Pada malam itu juga, saya akan memperdendangkan lagu terbaru saya iaitu Sunyi buat kali pertamanya kepada umum. Saya berharap lagu itu akan menjadi hitz dan dimainkan dicorong-corong radio,” ujarnya.
Diandra diberi ruang selama 20 minit untuk menyanyikan ke semua lagunya diiringi dengan band muziknya sendiri secara akustik.
“Buat masa sekarang, persediaan sedang giat dilakukan bersama band muzik saya. 4 buah lagu yang saya pilih ini, saya yakin ia dapat menghiburkan penonton pada malam itu nanti.”
Akustika 1 memfokuskan kepada persembahan lagu-lagu popular yang merangkumi pelbagai genre rentak dan muzik. Tiket persembahan sudah mula dijual pada harga RM100 dan RM70. Tempahan juga boleh dibuat menerusi talian 03-2051 7007 atau e-mel dfp_boxoffice@petronas.com.my atau melayari laman web www.mpo.com.my.
Baca : Pengakuan Puteri Sarah Liyana Isu Keguguran
Sumber : murai.com.my
0 Response to "Diandra Arjunaidi Teruja Beraksi Di Pentas DFP "
Post a Comment