Sejak kemerosotan prestasi Safee Sali, Harimau Malaya bagaikan ketandusan penyerang prolifik tiap kali beraksi di pentas antarabangsa dan perkara itu turut membimbangkan jurulatih Dollah Salleh.
Penyerang lain seperti Norshahrul Idlan Talaha juga masih bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik kerana jarang berada dalam kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim dan situasi itu mungkin memberikan ruang kepada penyerang Terengganu, Abdul Manaf Mamat membuktikan kemampuan dirinya.
Tidak dibawa semasa menentang Indonesia di Surabaya Ahad lalu kerana kecederaan buku lali, Manaf yang kali terakhir dipanggil bersama skuad kebangsaan dua tahun lalu bersedia menyahut cabaran dengan meledak seberapa banyak jaringan ketika berdepan Kemboja dalam perlawanan persahabatan Sabtu ini.
“Saya sudah bersedia jika jurulatih beri kepercayaan selepas pulih daripada kecederaan. Saya mahu membalas kepercayaan diberikan dengan membantu pasukan mendapatkan kemenangan bila berdepan Kemboja nanti.
“Mula-mula rasa kecewa juga apabila jurulatih tidak menyenaraikan saya ke Indonesia namun apa boleh buat kerana mendapat kecederaan dan kini semangat saya berkobar-kobar untuk berdepan Kemboja.
“Saya mahu membantu pasukan memperbaiki prestasi. Saya mahu mendapat tempat dalam pasukan bagi Kejohanan AFF November nanti,” katanya kepada wartawan selepas sesi latihan di Wisma FAM semalam.
Manaf yang mempunyai empat cap dengan Harimau Malaya pernah menjaringkan dua gol semasa perlawanan persahabatan dengan Lesotho pada 2009 di Stadium Petaling Jaya. -Utusan
0 Response to "Manaf Mamat sedia beraksi untuk negara"
Post a Comment