Mohmad Salleh Dahului Senarai Penerima Darjah Kepahlawanan






KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, berkenan menyampaikan pingat Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis di Istana Negara di sini, hari ini. - Foto Bernama



KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh hari ini mendahului senarai 235 penerima Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.



Mohmad dianugerah Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP).



Turut menerima PGPP ialah Komisioner Polis Singapura Ng Joo Hee dan Pemangku Ketua Polis Thailand Jeneral Watcharapol Prasarnrajkit.



Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke istiadat penganugerahan itu yang berlangsung di Istana Negara, Jalan Duta, di sini.



Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mohamad Khalid Sharif dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.



Seramai 25 penerima dianugerah Darjah Panglima Setia Pasukan Polis, Darjah Pahlawan Pasukan Polis (81 penerima), Darjah Kesatria Pasukan Polis (enam penerima) dan Darjah Bentara Pasukan Polis (117 penerima).



Selain itu, Tuanku Abdul Halim mengurniakan Pingat Keberanian Polis kepada tiga anggota polis kerana menunjukkan keberanian sewaktu menjalankan tugas dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah dan kes melibatkan perogol bersiri ‘Rambo Bentong’.



Mereka ialah Asisten Superintenden Mohamad Hasnal Jamil, Lans Koperal Mohd Akram Che Hussain dan Lans Koperal Mohd Suhaimi Mohd Razali.



Mohamad Hasnal cedera parah ketika menentang pengganas dari selatan Filipina dalam insiden di Lahad Datu pada Mac tahun lepas manakala Mohd Akram dan Mohd Suhaimi berjaya menangkap penjenayah paling dikehendaki sejak 2009 itu. – BERNAMA

0 Response to "Mohmad Salleh Dahului Senarai Penerima Darjah Kepahlawanan"

Post a Comment