Dina dan Nita pertama kali berkongsi pentas untuk persembahan Pinktober 2014 di Hard Rock Cafe. - Foto Rohanis Shukri |
KUALA LUMPUR: Berkemungkinan besar, ada yang sudah mengetahui bahawa Nita Hamzah, 33. yang naib juara Malaysian Idol musim kedua ini sudah berpunya. Difahamkan hubungan itu berjalan sejak setengah tahun.
Lelaki yang dimaksudkan ialah orang biasa bernama Mohd Fareez. Fareez berusia 26 tahun. Ketika dihubungi baru-baru ini, Nita cukup gembira untuk berkongsi khabar terbaru. Sangkakan mahu bercerita mengenai sisi peribadinya tapi tidak sebenarnya.
"Seganlah nak cerita mengenai kisah peribadi. Cukuplah yang orang tahu setakat itu. Saya tak mampu menebak apa yang bakal terjadi pada mendatang. Insya-Allah doa yang baik-baik saja," pintasnya cuba mengalih perhatian topik peribadi.
Sebenarnya Nita cukup teruja berkongsi cerita persembahannya di Hard Rock Cafe (HRC) Kuala Lumpur pada 19 Oktober ini bersempena kempen Pinktober 2014. Istimewanya Nita buat pertama kali akan berkongsi pentas dengan rakan seperjuangannya, Dina Nadzir.
Dina juga bintang kelahiran Malaysian Idol musim pertama dan bergelar naib juara seperti Nita juga. Pinktober 2014 ialah sebuah kempen yang memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya penyakit kanser payudara.
"Setahu saya, kali pertama persembahan seumpama ini diadakan tiga tahun lalu membabitkan Jaclyn Victor. Sebelum ini saya pernah membuat persembahan dengan bintang Malaysian Idol seperti Jaclyn sendiri mahupun Daniel Lee. Tetapi tidak dengan Dina.
"Alhamdulillah persembahan ini akhirnya menyatukan kami bersama. Kami akan mula berlatih selepas Dina selesai pementasan teater Supermokhnya. Kami dijangkakan membuat persembahan untuk 90 minit dan ia akan dipecahkan kepada dua set persembahan.
"Kami juga berkemungkinan membuat persembahan medley lagu juara Malaysian Idol sebelum ini. Saya amat terharu dan berterima kasih atas kepercayaan membuat persembahan ini. Ia lebih istimewa kerana berpaksikan amal," kata Nita.
Persembahan ini disifatkan Nita sebagai permulaan dan pembakar semangat untuknya membuat kemunculan semula. Nita pernah membawa diri dan tinggal di pulau termasuk bekerja membantu pelancong yang ingin melakukan aktiviti menyelam di dasar laut empat tahun lalu.
"Ikutkan perancangan saya nak buat 'come back' sudah lama cuma pelbagai dugaan datang. Setidak-tidaknya persembahan ini satu permulaan baik kepada apa yang saya harapkan. Sebelum ini pun saya pernah 'hilang' seketika dari persada seni," katanya.
Persembahan Pinktober 2014 ini juga bertujuan mengumpul dana yang akan disumbangkan kepada Majlis Kanser Malaysia (Makna). Selain persembahan nyanyian Dina dan Nita, turut diadakan penjualan barangan cenderamata edisi khas untuk pengunjung,
Tiket menonton persembahan ini dijual pada harga RM60 termasuk minuman. Persembahan ini akan diterbitkan Mike Manicka dan disokong enam pemuzik iringan yang menamakan mereka sebagai Sparrow King.
0 Response to "Nita Hamzah enggan komen lebih mengenai kekasih hati"
Post a Comment