Pemuda Umno Perjelas Isu Royalti, GST




MELAKA – Isu royalti petroleum serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) merupakan dua isu penting yang akan diperjelaskan Pemuda Umno dalam kempen PRK Pengkalan Kubor di Kelantan.



Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, isu tersebut perlu diperjelas dengan terperinci bagi mengelakkan pengundi di kawasan itu salah faham dan terpedaya dengan fitnah yang dihambur pembangkang.



“Rakyat Kelantan sering dimomokkan dengan isu ini bagi menarik sokongan mereka malah ada lagi yang beranggapan dengan GST barangan akan naik harga,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Program Fit Malaysia di Dataran Pahlawan di sini hari ini.



Pada PRK itu, calon BN, Mat Razi Mat Ail akan ditentang calon Pas, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.



PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.



Khairy berkata, pergerakan itu akan mengatur ceramah berkelompok di setiap pusat daerah mengundi dan tidak akan mengadakan ceramah secara besar-besaran bagi memastikan mesej daripada BN disampaikan dengan lebih berkesan.



“Ceramah besar yang dibuat sebelum ini tidak begitu berkesan kerana rakyat tidak betul faham, ceramah berkelompok ini kita boleh terangkan secara terus dan dengan lebih teliti malah boleh menjawab segala persoalan dikemukakan dengan lebih baik,” katanya. –BERNAMA

0 Response to "Pemuda Umno Perjelas Isu Royalti, GST"

Post a Comment