Remaja OKU Dikhuatiri Lemas Di Pantai Telok Kalong




KEMAMAN – Keghairahan seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) untuk mandi di pantai sempena musim cuti sekolah berakhir dengan tragedi, apabila dia dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Kalong di sini semalam.



Che Ku Mohd Fadzli Che Ku Mohd Yasin, 14, dipercayai dihanyutkan ombak ketika berkelah di pantai bersama ibu dan lima adik-beradiknya, kira-kira 6 petang.



Menurut ibunya Khalijah Omar, 43, sebaik tiba, anaknya terus turun mandi seorang diri sambil dia mengawasinya dari tepi pantai.



Beliau berkata pada satu ketika, beliau meminta anaknya supaya berenag ke pantai apabila mendapati anaknya berada terlalu jauh dari pantai.



“Dia yang mandi menggunakan pelampung dilihat menghadapi masalah untuk berenang semula ke tepi pantai sebab dibawa arus. Saya menjerit mengarahkan anak sulung saya untuk turun ke pantai menyelamatkan adiknya yang semakin hanyut.



“Saya nampak dia dapat pegang tangan adiknya, tetapi dia juga turut hanyut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.



Khalijah berkata jeritannya kepada anak sulungnya untuk menolong adiknya mendapat perhatian orang ramai yang turut turun ke laut dengan bot nelayan dan hanya sempat menyelamatkan anak sulungnya.



Penguasa Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Yahya Hanafi berkata pihaknya sedang mengesan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal yang hilang itu. – BERNAMA

0 Response to "Remaja OKU Dikhuatiri Lemas Di Pantai Telok Kalong"

Post a Comment