Pada 1980-an, stesen penyiaran Radio & Televisyen Malaysia (RTM) terkenal dengan ketegasannya dalam menghalang penyiaran lagu-lagu atas pelbagai sebab. Lagu-lagu yang tidak diluluskan atau diharamkan penyiarannya oleh RTM ketika itu biasanya dirujuk oleh orang ramai dan wartawan hiburan sebagai ‘kena gam’.
RTM tidak hanya mengharamkan sesebuah lagu untuk mengawal penyebaran kandungan yang tidak elok misalnya lirik yang kurang sopan atau lucah, tetapi lebih ‘menarik’ sekali apabila RTM juga bertindak mengharamkan lagu-lagu yang disifatkan oleh mereka sebagai sumbang (tidak sedap didengar).
Dalam erti kata lain, ketika itu RTM menganggap diri mereka seolah-olah pakar dalam penilaian teknik nyanyian dan permainan muzik, maka mana-mana lagu yang tidak mencapai mutu rakaman yang ditetapkan oleh mereka tidak akan disiarkan.
Terdapat juga sebab-sebab lain yang tidak berkaitan dengan lagu atau muzik yang boleh menyebabkan sesebuah lagu itu diharamkan, misalnya penyanyi lagu tersebut ialah lelaki berambut panjang, maka lagu tersebut akan kena gam.
Sepanjang tempoh keaktifan RTM dalam mengharamkan lagu-lagu iaitu sehingga tahun-tahun awal 1990-an, banyak lagi sebab yang diwujudkan apabila perlu bagi mengharamkan sesebuah lagu. Ketika muzik rap dan hip hop mula berkembang dengan lahirnya artis seperti KRU, lagu-lagu dwibahasa (Melayu-Inggeris) dan yang menggunakan bahasa pasar (seperti “sempoi”, “gua/lu”) turut diharamkan.
Kemunculan lebih banyak stesen penyiaran (terutamanya radio) swasta pada pertengahan 1990-an yang tidak menghalang penyiaran lagu-lagu sedemikian telah perlahan-lahan menyebabkan usaha pengharaman lagu oleh RTM menjadi kurang berkesan kerana pendengar boleh mendengar lagu tersebut melalui stesen swasta.
Sebuah laporan eksklusif pada 22 April 1989 menyatakan bahawa RTM telah mengharamkan “sebanyak 71 buah lagu dari 20 buah album tempatan” hanya dalam tempoh 3 bulan pertama tahun itu. Dinyatakan bahawa sebab pengharaman lagu-lagu itu ialah:
“Kerana nyanyian” – 48 lagu
“Kerana masalah teknikal iaitu vow” – 8 lagu
“Kerana lagu saduran” – 8 lagu
“Kerana senikata” – 1 lagu
“Kerana ciptaan dan gubahan yang tiada keaslian” – 6 lagu
Tajuk lagu-lagu yang diharamkan oleh RTM:
1. Ababil (nyanyian Ababil) – kerana nyanyian
2. Halu Haloba (Ababil) – kerana nyanyian
3. Umpama Mimpi (Ababil) – kerana nyanyian
4. Warna Cinta (Ababil) – kerana nyanyian
5. Ringgit (Ababil) – kerana nyanyian
6. Rindu (Ababil) – kerana nyanyian
7. Badai Cinta (Ababil) – kerana nyanyian
8. Mawar Jingga (Ababil) – kerana “vow”
9. Hidup Topengan (Ababil) – kerana “vow”
Nota: Dengan pengharaman 9 buah lagu daripada album pertama kumpulan rock Ababil (gambar mereka disiarkan sedang tersenyum, pastinya sebelum mengetahui tentang pengharaman lagu-lagu mereka) menjadikan mereka artis paling banyak lagu diharamkan dalam senarai yang dikeluarkan itu. Satu-satunya lagu Ababil yang diluluskan untuk siaran berjudul Cinta Belum Berakhir.
10. Sisa Cinta (nyanyian Viking) – kerana nyanyian
11. Jeritan Irama (Viking) – kerana nyanyian
12. Teruskan Perjuangan (Viking) – kerana nyanyian
13. Pastikan Kebebasan (Viking) – kerana nyanyian
14. Damai dan Darah (Viking) – kerana nyanyian
15. Viking (Dalam Pelayaran) (Viking) – kerana nyanyian
16. Pancaran Laser (nyanyian Laser Ray / album Pancakara Di Cakerawala) – kerana nyanyian
17. Selembut Sutera (Steeler / Pancakara Di Cakerawala) – kerana nyanyian
18. Ilusi Fenomena Cinta (Hydra / Pancakara Di Cakerawala) – kerana nyanyian
19. Dunia atau Neraka (Saxo / Pancakara Di Cakerawala) – kerana nyanyian
20. Salam Rindu (Rhythm Machine / Pancakara Di Cakerawala) – kerana nyanyian
21. Angkara Manusia (A.S.K / Pancakara Di Cakerawala) – kerana nyanyian
22. Jangan Kau Pergi (nyanyian Manimala) – kerana nyanyian
23. Selalu Di Hatimu (Manimala) – kerana saduran
24. Kau Yang Bergaya (Manimala) – kerana saduran
25. Bahagialah Bersama (Manimala) – kerana saduran
26. Beginikah Berakhirnya (Manimala) – kerana saduran
27. Seruling Bamboo (Manimala) – kerana saduran
28. Mandi Mandu (Manimala) – kerana saduran
29. Cik Cik Boom (nyanyian Melissa Saila) – kerana nyanyian & saduran
30. Tarian Kota (Melissa Saila) – kerana saduran
31. Irama Rinduku (Melissa Saila) – kerana ciptaan/gubahan
32. Pesan Untuk Teman (Melissa Saila) – kerana ciptaan/gubahan
33. Kerana Dia Aku Rela (Melissa Saila) – kerana ciptaan/gubahan
34. Harapan Gemilang (Melissa Saila) – kerana ciptaan/gubahan
35. Sengketa Damai (nyanyian Jefriddin & Norzie / album Jasamu Di Kenang Volume 2) – kerana nyanyian
36. Gurindam Jiwa (Jefriddin & Norzie / Jasamu Di Kenang Volume 2) – kerana nyanyian
37. Ikan Di Laut Asam Di Darat (Jefriddin & Norzie / Jasamu Di Kenang Volume 2) – kerana nyanyian
38. Terbuku Di Kalbu (L. Ramlie & Norzie / Jasamu Di Kenang Volume 2) – kerana nyanyian
39. Joget Malaysia (L. Ramlie & Norzie / Jasamu Di Kenang Volume 2) – kerana nyanyian
40. Gelora (L. Ramlie & Norzie / Jasamu Di Kenang Volume 2) – kerana nyanyian
41. Nyanyian Rindu (nyanyian Azman) – kerana nyanyian
42. Pesta Hari Jadi (Azman) – kerana nyanyian
43. Sentuhanmu (Azman) – kerana “vow”
44. Ingatlah (nyanyian Lovehunters) – kerana nyanyian
45. Hidup Sederhana (Lovehunters) – kerana nyanyian
46. Realiti (Lovehunters) – kerana nyanyian
47. Halusinasi (Lovehunters) – kerana nyanyian
48. Namamu Di Hatiku (nyanyian Moses Vadham) – kerana nyanyian
49. Perjalanan Cinta (Moses Vadham) – kerana nyanyian
50. Mencari Cinta Yang Hilang (Moses Vadham) – kerana nyanyian
51. Pelita Kasih (nyanyian Mathias Gomez) – kerana nyanyian
52. Rintik Hujan (Mathias Gomez) – kerana nyanyian
53. Kerasukan (Mathias Gomez) – kerana nyanyian
54. Katakanlah (nyanyian Roy) – kerana nyanyian
55. Sepanjang Perjalanan (Roy) – kerana nyanyian
56. Keredaan (nyanyian Shima & The Boys) – kerana nyanyian
57. Kelkatu Gugur Sayapnya (Shima & The Boys) – kerana nyanyian
58. Tragedi (nyanyian Helter Skelter) – kerana nyanyian
59. Digigit Bebayang Silam (Helter Skelter) – kerana nyanyian
60. Permata Budi (nyanyian Ibnor Riza) – kerana nyanyian
61. Damaikan Resahku (Ibnor Riza) – kerana nyanyian
62. Tugu Cinta (instrumental / album Juara Lagu ’88) – kerana “vow”
63. Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu) (instrumental / Juara Lagu ’88) – kerana “vow”
64. Renungan (nyanyian Point Blank) – kerana nyanyian/vow
65. Perisai Cinta (Point Blank) – kerana nyanyian/vow
66. Hero (nyanyian Sharm) – kerana nyanyian/vow
67. Sepi Tak Bertemu (Sharm) – kerana nyanyian/vow
68. Hamba Yang Tak Tahu (nyanyian A. Ramlie) – kerana saduran
69. Cintaku Cintamu (nyanyian Zamree) – kerana nyanyian
70. Tanjung Puteri (nyanyian Loving Born) – kerana senikata
Jumlah lebih 70 buah lagu (tempatan sahaja) yang diharamkan oleh RTM hanya dalam tempoh 3 bulan pertama 1989 mungkin boleh dianggap sedikit dalam zaman tersebut di mana berpuluh-puluh buah album baru dikeluarkan dalam sebulan. Tetapi mengambil kira tempoh keseluruhan zaman di mana RTM aktif mengharamkan lagu, tidak keterlaluan untuk mengandaikan bahawa jumlah keseluruhan lagu-lagu yang pernah diharamkan oleh RTM telah mencecah angka beribu-ribu lemon.
Dalam tahun 1989 sahaja sudah pasti beratus-ratus lagu menjadi mangsa sekatan RTM dalam usaha ‘murni’ mereka untuk memastikan rakyat Malaysia khususnya pendengar siaran radio dan televisyen RTM mendapat hiburan yang bermutu dan tidak sumbang.
Nota tambahan: Adakah lagu-lagu yang diharamkan dulu masih diharamkan kini? Tidak lagi, kebanyakannya telah boleh disiarkan tanpa sekatan. Contohnya lagu pertama dalam senarai di atas yang berjudul Ababil telah banyak kali disiarkan oleh stesen radio Muzik FM.
Antara cara perlaksanaan sekatan: Lagu-lagu yang diharamkan akan ditandakan secara manual pada kulit album sebagai panduan kepada juruhebah radio untuk tidak menyiarkannya. -SUMBER
0 Response to "70 BUAH LAGU YANG PERNAH DIHARAMKAN OLEH RTM PADA TAHUN 1989"
Post a Comment