Rezeki Soffi Jikan Bakal Jadi Penyanyi dan Pengarah

Mengabdikan diri selama 20 tahun dalam industri bukan satu tempoh masa yang pendek buat lelaki ini. Sepanjang tempoh berkenaan dia sudah masak benar dengan sepak terajang industri seni yang tak pernah adil kepada anak seni sepertinya.

Jauh sekali untuk mengeluh atau kecewa dengan apa yang berlaku, segala-galanya ditolak ke tepi. Bagi Soffi Jikan dia yakin ada rahmat buat orang yang sabar.


Rezeki Soffi Jikan Bakal Jadi Penyanyi dan Pengarah, info, terkini, hiburan, sensasi, Soffi Jikan


Meski pernah terasa hati untuk terus menjadi anak seni, rajuk Soffi tak lama. Baginya agenda yang perlu dilunaskan masih banyak berbaki sementelah dia sendiri sudah mula dikenali sebagai pengarah drama dan filem.

"Bukan soal berlakon yang menjadi masalah tetapi saya sendiri berfikir sampai bila nak terus jadi begitu. Pada satu tahap saya mahu berjaya seperti orang lain yang mampu melakukan apa sahaja.

"Apabila menghambakan diri sebagai anak seni, saya kena banyak berkorban. Dari terus menunggu dan menunggu lebih baik saya beri ruang kepada diri untuk menceburi bidang bisnes yang menjanjikan pulangan.

"Orang lihat filem kita sekali. Jerih perih mereka tak tahu. Apabila perasaan ini bercampur baur lebih baik saya beranikan diri menjadi pengarah dan penerbit," tegas Soffi lagi.

Terbaru dia baru sahaja menerima geran dari Perbadanan Filem Nasional (Finas) berjumlah RM400,000 untuk menyiapkan filem Gangster Rock Kasi Sengat dengan usaha sama Serina Redzuan dan Yusuf Kelana.

Antara filem lain lakonannya yang bakal ditayangkan termasuk Lelaki Harapan Dunia yang menggandingkan dirinya bersama-sama Wan Hanafi Su.

Filem Lelaki Harapan Dunia juga kini menyertai beberapa festival filem di luar negara termasuk di Switzerland, Kanada dan Jepun sebelum ditayangkan di negara ini pada akhir tahun nanti.

Selain itu Soffi juga terlibat dengan produksi antarabangsa dalam menyiapkan siri Marco Polo yang menjalani penggambaran di Iskandar Johor baru-baru ini. Hanya dia satu-satunya pelakon tempatan yang diberikan kepercayaan dan siri tersebut bakal ditayang di seluruh dunia tidak lama lagi.

Menyifatkan perjalanan seninya penuh warna-warni, Soffi tidak lagi mahu peminat menaruh harapan untuk melihatnya di hadapan kaca televisyen atau layar perak tetapi peluang yang ada akan digunakan sebaik-baik di belakang tabir.

"Selama menjadi pelakon saya telah menerima banyak penghinaan. Ada yang menawarkan peluang tetapi perlu menunggu sehingga setahun. Ada yang menggugurkan nama saya pada saat-saat akhir dan tak kurang juga menerima bayaran tak setimpal.

"Sepanjang menjadi anak seni saya sudah lalui macam-macam. Sudah tiba masanya untuk saya melangkah ke depan dan melebarkan sayap ke bidang lain. Saya berusaha keras dan tak menunggu peluang itu datang sendiri," jelasnya yang sedang menyiapkan skrip filem City Of Gold.

Kerja keras

Sebagai usahawan baru, Soffi sudah merangka cabang perniagaan baru melalui syarikat miliknya. Dia baru sahaja mengeluarkan Kopi Kasi Sengat yang bakal dipromosikan secara besar-besaran tidak lama lagi.

Rezeki Soffi Jikan Bakal Jadi Penyanyi dan Pengarah, info, terkini, hiburan, sensasi, Soffi Jikan


Selain itu lelaki berusia 44 tahun ini juga dilantik menjadi duta kepada kenderaan GrandTiger, jenama antarabangsa yang baru tiga tahun dibawa masuk ke pasaran Malaysia.

Dia bakal menerima sebuah pacuan empat roda yang akan digunakan dalam penjelajahan promosi enam lokasi terpilih di serata Malaysia bermula 21 September depan.

Menyifatkan semua ini sebagai formula usaha, kerja keras dan kepercayaan orang, dia yakin mampu melaksanakan tanggungjawab dan peranan yang telah diberikan oleh pihak tersebut untuk memacu kejayaan pada masa hadapan.

"Sebetulnya memang banyak sangat masa saya dihabiskan dengan menghadiri perbincangan, promosi dan kerja-kerja luar untuk memajukan bisnes ini.

"Saya tak boleh tunggu peluang. Cukuplah selama ini saya menunggu lama di lokasi penggambaran dan perkara-perkara lain. Ini masa untuk saya membuktikan sesuatu kepada diri saya.

"Bukan soal bayaran yang menjadi keutamaan tapi yang boleh saya beri kepada orang. Saya tidak mengeluarkan produk untuk mencapai keuntungan semata-mata. Kalau tak berkesan boleh datang dan pulangkan kembali," ujarnya.

Di bawah Red Quattro Sdn. Bhd., syarikat itu turut mengeluarkan produk-produk sampingan seperti booster penjimatan minyak dan beberapa produk lain.

Dalam bidang nyanyian pula, Soffi bakal melancarkan album Kasi Sengat pada 22 September ini sebagai simbolik kepada perjalanan hidupnya. Mendapat sentuhan komposer Edrie Hashim, dia menulis dan membuat sendiri lagu-lagu tersebut.

"Segala perasaan dicurahkan di dalam lagu. Saya anggap itu sebagai naskhah cerita yang telah dilalui oleh Soffi Jikan selama ini. Sebab itu saya yakin album ini akan memberikan dimensi baru kepada peminat saya," katanya.

Sumber : utusan.com.my

 photo good_zps9ceffaa5.gif

0 Response to "Rezeki Soffi Jikan Bakal Jadi Penyanyi dan Pengarah"

Post a Comment