Noh Hujan Didakwa Melobi DFP Untuk Konsert Akustik II DFP Seni Fest 2014

Tugas anak seni tidak selalunya dibayar dengan kata-kata pujian. Apatah lagi untuk membayangkan bahawa perjalananan itu berlangsung dengan mudah.

Sepanjang hampir 10 tahun berada dalam ruang seni muzik tanah air, itu antara pengalaman yang dilalui oleh kumpulan Hujan yang akhirnya membawa pada kedudukan mereka sekarang.


Noh Hujan Didakwa Melobi DFP, info, terkini, hiburan, gosip, Noh Hujan,


Menjadi antara kumpulan indie rock alternatif disegani dalam negara, Hujan mungkin sudah boleh tersenyum bangga dengan pencapaian mereka sehingga menjadi contoh kepada kumpulan indie lain.

Berbekalkan profil yang cemerlang selama ini maka tidak hairanlah Hujan diberi kepercayaan oleh Dewan Filharmonik Petronas (DFP) untuk beraksi sekali lagi di pentas berprestij itu.

Selepas meraih kejayaan menerusi konsert satu malam di DFP pada tahun lepas, Hujan seolah-olah sudah menjadi kumpulan kegemaran DFP meski ramai tahu ada banyak lagi band lain yang mungkin boleh diberi ruang dan peluang yang sama seperti Hujan.

Lalu timbul khabar bahawa ada band lain yang mencemburui Hujan lantaran mendapat perhatian lebih daripada pihak DFP khususnya untuk penglibatan sempena penganjuran konsert Akustik II DFP Seni Fest 2014 yang akan berlangsung pada 20 September ini.

Mewakili kumpulan Hujan, vokalis Noh Salleh menganggap penglibatan kali kedua mereka adalah sebagai rezeki dan tuah buat Hujan dan tidak sepatutnya timbul unsur cemburu dan sebagainya.

"Kami terima pelawaan pihak DFP itu sebagai satu peluang yang baik. Tambahan pula apabila diberi kepercayaan sebegitu rupa selepas konsert Hujan satu malam di tempat yang sama sebelum ini, kami tentulah berbesar hati dan berbangga.

"Kalau misalnya ada band lain yang nak rasa iri hati kerana hal ini, itu bukan masalah saya. Ini nasib dan rezeki Hujan. Lagipun bukan kami yang melobi nak buat persembahan di sini. Tetapi pihak DFP yang mempelawa Hujan ke sini," katanya.

Begitu juga dengan soal tuduhan Hujan sebagai anak emas. Menurut Noh, hal itu juga tidak sepatutnya wujud memandangkan bukan selalu Hujan membuat persembahan di DFP.

"Ini baru kali kedua kami buat persembahan di sini dan Akustika II tak macam konsert kami yang sebelum itu. Untuk Akustika II, kami diberi ruang untuk buat persembahan cuma empat lagu.

"Malam itu bukan sahaja untuk kami tetapi pentas itu turut dikongsi dengan barisan artis lain. Jadi tak patutlah timbul soal anak emas," katanya.

Menganggap bahawa orang ramai wajar berfikiran positif kata Noh, yang dilakukan oleh Hujan sekurang-kurangnya membuka mata banyak pihak bahawa band indie juga mampu pergi sejauh ini dan beraksi di pentas berprestij seperti DFP.

"Usaha kami ini bukan sahaja untuk Hujan tetapi untuk band-band lain juga. Mana tahu selepas ini band lain pula akan diberi peluang untuk beraksi di DFP. Kali ini mungkin rezeki kami, akan datang orang lain pula," katanya.


Noh Hujan Didakwa Melobi DFP, info, terkini, hiburan, gosip, Noh Hujan,


Bercerita mengenai persembahan Akustik II kata Noh, setakat ini Hujan telah bersetuju untuk menyampaikan lagu Kotak Hati, Bahagia, Bagaikan Matahari dan Mencari Konklusi.

Bagaimanapun dia tidak menolak kemungkinan akan membuat rombakan dari semasa ke semasa terhadap senarai lagu yang akan dibawa untuk menghiburkan penonton pada malam tersebut.

Selain Hujan, konsert tersebut turut menampilkan persembahan daripada Zainal Abidin, Ning Baizura, Bunkface, Atilia, David Gomes, Jay Jay, Fredo dan Elvira Arul.

Persembahan itu diadakan sempena Festival Seni DFP yang menyajikan muzik ekstravaganza dalam perayaan seni dan budaya bermula 16 September hingga 21 September ini.

Sementara itu Man Kidal, OAG, Monoloque, Andy Flop Poppy, Seven Collar T-Shirt, Lab The Rat, Diandra Arjunaidi, Alex Subryn, Sharin Band, Muzza, Az Samad dan Bassment Syndicate akan beraksi pada pentas Akustika I yang berlangsung pada 16 September ini.

DFP turut memeriahkan program Festival Seni ini dengan menganjurkan Konsert MPO pada 21 September yang menampilkan artis seperti Datuk M. Nasir, Datuk Yusni Hamid, Alyah dan Nassier Wahab.

Tiket bagi menyaksikan persembahan berkenaan dijual pada harga RM100 dan RM70. Hubungi 03-2051 7007 atau e-mel dfp_boxoffice@petronas.com.my atau layari www.mpo.com.my

Sumber : utusan.com.my
 photo good_zps9ceffaa5.gif

0 Response to "Noh Hujan Didakwa Melobi DFP Untuk Konsert Akustik II DFP Seni Fest 2014"

Post a Comment