Ingin Menjimatkan P’gunaan Petrol Kereta Anda?

Harga bahan bakar kenderaan yang tidak menentu sejak 10 tahun lalu mempengaruhi pengguna kenderaan bermotor terutama kereta. Kepada anda diluar sana yang menginginkan kadar penggunaan petrol dan bahan bakar pada tahap yang menjimatkan, langkah ini sangat perlu kerana penggunaan bahan api paling minimum dapat menjimatkan perbelanjaan minyak petrol.
Kurangkan perjalanan kereta anda
Mungkin tip ini agak biasa. Namun ia sangat membantu mengurangkan kos minyak anda. Terlebih dahulu kenal pasti perjalanan seharian kereta anda dan seterusnya fikirkan cara terbaik mengurangkan perjalanan kereta. Salah satu perjalanan kereta yang boleh dielakkan ialah sewaktu hendak keluar makan tengahari, khususnya bagi mereka yang bekerja. Perjalanan pergi balik dari pejabat ke kedai makan akan banyak menggunakan minyak terutama ketika jalan raya agak sibuk.
Memandu dengan kelajuan yang sesuai
Sikap dan cara panduan banyak mempengaruhi penggunaan petrol kereta. Jangan gopoh dan membuat sesuatu secara mengejut. Misalnya ketika menuju ke plaza tol atau membelok di selekoh tajam, jangan sesekali menukar gear (misalnya gear 5) terus kepada gear rendah dan brek secara mendadak.
Kurangkan berat/bebanan kereta
Anda juga perlu mengetahui apabila membawa bebanan yang lebih daripada kadar yang sesuai juga menyebabkan kadar penggunaan minyak melebihi tahap biasa. Jadi, jangan bawa barang yang tidak perlu. Perhatikan dalam but kereta anda, mungkin ada banyak barang yang tidak sepatutnya berada dalam but tetapi dibawa ke sana ke mari. Penambahan berat sebanyak 50 kilogram meningkatkan penggunaan minyak sebanyak dua peratus.
Tayar diisi dengan tekanan angin yang betul
Tekanan angin untuk keempat-empat tayar haruslah tepat dan sama. Tekanan angin yang tidak mengikut spesifikasi mengakibatkan penggunaan minyak bertambah lima peratus. Carta berat dan tekanan angin biasanya terpapar di tempat mengisi angin di stesen minyak. Jangan biarkan tayar kurang tekanan angin kerana ia menyebabkan kereta dipandu lebih berat dan ini tidak menjimatkan minyak.Tekanan tayar yang kurang menyebabkan menyebabkan penambahan penggunaan minyak sehingga 35 peratus. Periksa dan tetapkan tekanan tayar mengikut spesifikasi kenderaan anda sekurang-kurangnya sebulan sekali.
Lakukan penyelenggaraan dan servis berkala
Penalaan enjin yang tidak sesuai meningkatkan penggunaan minyak sehingga lebih 50 peratus. Pastikan palam pencucuh, tali kipas dan penapis udara diperiksa secara berkala.
Kurangkan kelajuan
Lebih perlahan anda memandu, lebih jimat minyak digunakan. Memandu melebihi 90 kilometer sejam (km/j) akan meningkatkan penggunaan minyak. Secara perbandingan, pada kelajuan 100 km/j, penggunaan minyak bertambah 10 peratus, 105 km/j (15 peratus) dan 110 km/j (25 peratus).
Matikan saja enjin kereta jika menunggu
Jika kereta tidak bergerak, matikan enjin jika sekadar menunggu seseorang. Menunggu suami, isteri atau kawan yang singgah di kedai runcit untuk membeli barangan kadang kala boleh menjadi terlalu lama. Ini mungkin kerana terdapat ramai pelanggan di kedai tersebut. Jadi, buka tingkap kereta dan matikan sahaja enjin untuk menjimatkan minyak kereta anda.
Bijak dalam penggunaan gear
Pilih gear yang sesuai dengan kelajuan. Menggunakan gear rendah untuk kelajuan tinggi menyebabkan pembaziran petrol kerana tekanan terhadap enjin menjadi terlalu tinggi. Gunakan mod `ekonomi’ jika kereta anda memilikinya. Pemanduan dengan kadar yang laju pada gear rendah boleh meningkatkan penggunaan minyak sehingga 45 peratus dari yang sepatutnya. Penggunaan kenderaan bertransmisi manual, membolehkan anda menjimatkan minyak.
Rancang perjalanan
Rancang perjalanan terlebih dahulu sebelum ke sesuatu destinasi. Ini dapat mengelakkan dari kesesakan lalulintas dan secara tidak langsung akan dapat menjimatkan minyak.
Gunakan saiz tayar dan rim yang sesuai
Saiz tayar dan rim kereta yang tidak sesuai akan menyebabkan penambahan penggunaan minyak sehingga 10 peratus.
Isi petrol pada waktu yang sesuai
Waktu yang paling sesuai untuk mengisi minyak adalah di waktu pagi atau malam. Ini kerana pada waktu ini minyak petrol kurang termeluwap ke udara akibat cuaca panas. Elakkan mengisi minyak terlalu penuh atau sehingga tertumpah. Berhenti mengisi minyak selepas nozzle di pam minyak berbunyi “klik”.
Barang yang perlu dibawa
Anda harus membawa barang yang perlu sahaja seperti alat membaiki kereta dan alat yang dapat membantu ketika kecemasan. Carrier (alat membawa barang atas bumbung kereta) juga boleh menambah penggunaan minyak pada kadar lima peratus.
Kesimpulan:
Jika anda mendapati penggunaan minyak kereta anda sebulan sangat tinggi, periksalah puncanya terlebih dahulu. Ia mungkin berpunca daripada keadaan teknikal kereta atau mungkin sikap pemanduan anda. Maka, sebelum membeli sebarang alat bantuan penggunaan minyak di pasaran, eloklah anda mengamalkan tip-tip yang dinyatakan di atas dan lihat perubahannya.SUMBER
Oleh: hzqahmd                                                              

0 Response to "Ingin Menjimatkan P’gunaan Petrol Kereta Anda?"

Post a Comment