PARIT BUNTAR - Gara-gara seekor biawak melintas, seorang lelaki bersama kanak-kanak lima tahun nyaris maut apabila kereta yang dipandunya hampir menjunam ke dalam parit besar, dalam kejadian di Kampung Parit Mat Ali, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, mangsa Mohd Ikhmal Ibrahim 25, berkata, dia yang memandu kereta jenis Proton Saga milik abang iparnya bersama seorang anak saudara terpaksa menekan brek secara mengejut berikutan terkejut melihat seekor biawak besar melintas di hadapannya.

“Disebabkan jalan licin dan berlopak, kereta yang saya pandu terbabas ke arah kiri jalan dan menjunam ke arah parit besar.

“Anak saudara yang duduk di tempat duduk belakang menjerit ketakutan ketika kejadian tersebut. Mujur waktu itu saya memandu perlahan dan cermin tingkap semua tertutup. Jika tidak, sudah tentu kami berdua akan lemas dalam kereta,” katanya.

Mohd Ikhmal berkata, akibat kejadian itu dia dan anak saudaranya mengalami kecederaan ringan di kepala dan bahu kerana terhantuk pada stereng dan cermin kereta.

“Kejadian ini menyebabkan saya mengalami kerugian hampir RM1,000 kerana terpaksa membaiki beberapa komponen kenderaan yang rosak,” katanya. 

                                                                 SUMBER