Pelajar Kolej Parah Dibelasah Senior

Pelajar Kolej Parah Dibelasah Senior | Seorang pelajar sebuah institut kemahiran cedera parah di bahagian kepala dan badan serta pengsan selama lima jam selepas mendakwa dipukul, ditumbuk dan ditendang oleh sekumpulan pelajar seniornya ketika bermain futsal di padang institut itu di Kampung Pandan, di sini petang semalam.


Pelajar Kolej Parah Dibelasah Senior, info, terkini, berita, kes buli

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Muhammad Mustaqim Hedzir,18, bersama beberapa rakan sepengajiannya terlibat dalam perlawanan futsal dengan pelajar senior namun berlaku perselisihan faham ketika berebut bola sebelum dia dibelasah.

Menurut bapa mangsa, Hedzir Mohd. Ali, 48, beliau mendapat tahu anaknya dibelasah selepas salah seorang rakan anaknya itu menghubunginya untuk memaklumkan kejadian.

"Saya terus ke kolej selepas diberitahu namun setibanya di sana, anak saya tiada dan telah dimaklumkan dihantar oleh wakil pelajar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Semasa di hospital, anak saya masih belum sedarkan diri. Dia hanya sedarkan diri kira-kira pukul 10 malam sebelum doktor teruskan pemeriksaan lanjut di kepala dan dadanya," dakwanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Tambah Hedzir, berikutan kejadian itu dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju kerana terkilan atas perbuatan tidak wajar yang dilakukan terhadap anaknya.

"Perkara ini sudah dalam pengetahuan pihak institut dan saya amat berharap ada tindakan sewajarnya diambil ke atas pelajar-pelajar yang terlibat sebagai pengajaran kepada yang lain agar kejadian sama tidak berulang.

"Keadaan anak saya kini sudah stabil cuma masih memerlukan rawatan susulan pada minggu hadapan ," ujarnya yang telah menemui kesemua pelajar yang membelasah anaknya di IPD Wangsa Maju tengah hari ini kerana mereka dipercayai ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan. - Utusan Online
 photo good_zps9ceffaa5.gif

0 Response to "Pelajar Kolej Parah Dibelasah Senior"

Post a Comment