Gempar ‘orang minyak’ ditemui di Kuala Berang


Pekerja warga Bangladesh ini bertukar menjadi orang minyak selepas terjatuh dalam tangki berisi cecair tar.

Malang tidak berbau! Seorang pekerja warga Bangladesh bertukar menjadi orang minyak selepas terjatuh dalam tangki minyak berisi cecair tar, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa seorang pekerja di sebuah kuari di daerah ini terpaksa berendam dalam takungan cecair tar itu selama 20 minit sebelum berjaya diselamatkan setelah jeritannya didengari rakan sekerjanya.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang berusia 30-an sedang melakukan kerja penyelenggaraan bagaimanapun ketika cuba mengambil peralatannya yang terjatuh ke dalam tangki berisi cecair tar tersebut dia tergelincir dan turut tercampak ke dalam tangki.

Menurut sumber, mangsa menjerit meminta tolong beberapa lama sebelum pekerja lain menyedari kejadian itu dan berusaha membantu mengeluarkan mangsa.

“Pekerja warga Bangladesh ini dibawa keluar menggunakan tali yang diikat pada sebuah jengkaut kerana usaha awal membantu dengan cuba menariknya ke atas tidak berhasil.

“Ketika dia berjaya ditarik keluar, dia begitu keletihan serta tidak bermaya. Malah, seluruh tubuhnya dipenuhi tar seperti orang minyak,” katanya.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Pegawai Bomba Salim Mansor berkata, pihaknya turut menerima panggilan berhubung kejadian itu yang memaklumkan ada seorang lelaki terjatuh dalam tangki minyak.

“Pihak kami menerima panggilan jam 10.02 pagi dan bergegas ke tempat kejadian menaiki sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota.

“Sebaik tiba di sana didapati mangsa telah dibawa keluar oleh rakan sekerjanya daripada tangki tersebut,” katanya.-SINAR HARIAN

0 Response to "Gempar ‘orang minyak’ ditemui di Kuala Berang"

Post a Comment