Najib bakal umum berita ‘istimewa’ di Terengganu esok – Ahmad Razif



Dato Ahmad Razif berkata Dato Sri Najib bakal umum hadiah istimewa pada kehadirannya di Terengganu esok.

Rakyat Terengganu bakal menerima berita gembira yang dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena lawatan kerja beliau ke negeri itu, Khamis ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman ketika menyatakan perkara itu bagaimanapun tidak memperincikan mengenai berita ‘istimewa’ itu.

Menurut Ahmad Razif, pada lawatan itu, Perdana Menteri dijadual menyempurnakan upacara pecah tanah projek pembinaan Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kira-kira pukul 2 petang di kampus universiti itu di Gong Badak.

Katanya, kira-kira 15,000 orang dijangka menghadiri majlis pelancaran itu.

“Saya difahamkan, akan ada pengumuman istimewa untuk negeri Terengganu yang akan diumumkan Perdana Menteri pada hari itu, kita tunggulah apa pengumuman itu,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah pertandingan Menghias Jalur Gemilang Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu di Kampung Sekati di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Toh Puan Halina Zakaria.

Ahmad Razif berkata, selepas itu, Perdana Menteri akan menghadiri majlis perbincangan tertutup mengenai perkembangan pembangunan di negeri ini di Riyaz Heritage, kira-kira pukul 5 petang.

“Pada majlis itu saya akan membentangkan kepada Perdana Menteri tentang pembangunan yang telah dilaksanakan sejak saya menjadi Menteri Besar,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Perdana Menteri juga berjanji untuk kembali ke Terengganu selepas majlis berkenaan bagi melancarkan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) selain pelancaran program untuk nelayan. -Utusan

0 Response to "Najib bakal umum berita ‘istimewa’ di Terengganu esok – Ahmad Razif"

Post a Comment