Perhilitan Rampas 4 Ekor Ular, Iguana Di Melaka





MELAKA – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas lima ekor haiwan yang disimpan tanpa permit khas dan lesen di sebuah rumah, di Taman Melaka Baru di sini, semalam.



Pengarah Perhilitan Melaka Noorzakiahanum Mohd Noh berkata rampasan dilakukan sepasukan unit penguatkuasa berdasarkan risikan dan maklumat orang ramai kira-kira 3.30 petang.



Beliau berkata haiwan yang dirampas ialah seekor ular spesis Ball Python, ular Sawa Batik, ular Sawa Batik Albino, ular spesis Copper Head Racer dan seekor iguana.



“Kita masih menyiasat sama ada haiwan ini dijadikan peliharaan atau untuk dijual,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.



Noorzakiahanum berkata hasil pemeriksaan, pemilik rumah tersebut gagal mengemukakan dokumen sah bagi setiap hidupan liar berkenaan.



Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

0 Response to "Perhilitan Rampas 4 Ekor Ular, Iguana Di Melaka"

Post a Comment