Seluruh Negara Raikan Hari Malaysia Ke-51




KUALA LUMPUR – Meskipun sambutan peringkat kebangsaan Hari Malaysia ke-51 berlangsung di Miri, Sarawak malam ini, namun rakyat di seluruh negara tidak ketinggalan meraikan hari penuh bermakna dalam sejarah negara itu sejak pagi.



Di KUALA LUMPUR, antara yang meraikannya ialah Persatuan Penduduk Taman Fern Grove di Cheras yang menyaksikan penduduk pelbagai kaum menyambutnya dalam satu majlis sederhana tetapi meriah dan penuh semangat muhibah.



Ia dimeriahkan dengan pertandingan pakaian tradisional kanak-kanak berumur antara 3 dan 12 tahun bertujuan menyemai rasa cinta dan bangga terhadap kepelbagaian tradisi dan budaya masyarakat Malaysia.



Pengerusi persatuan itu, Datuk Hod Parman ketika ditemui Bernama menegaskan sambutan Hari Malaysia tidak seharusnya hanya disemarakkan di peringkat kebangsaan tetapi perlu bermula pada peringkat akar umbi.



“Sekiranya sambutan seperti Hari Malaysia dan hari perayaan utama di negara ini dapat dilakukan bermula pada peringkat bawahan seperti di taman perumahan, saya kira perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama dapat dibajai dan diperkukuhkan lagi.



“Oleh itu, sambutan kali ini adalah sebahagian daripada usaha kecil-kecilan penduduk setempat untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.



Sementara itu, rata-rata orang ramai yang ditemui di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, bersetuju bahawa Malaysia berjaya mencapai kejayaan membanggakan sepanjang 51 tahun lepas setelah kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk Malaysia pada tahun 1963, melalui toleransi.



Bagi seorang peniaga, Mazian Harun, 47, melahirkan rasa syukur bahawa rakyat Malaysia bernasib baik dapat hidup dalam suasana aman tanpa sebarang masalah jika dibandingkan dengan banyak negara lain yang bergolak.



Seorang eksekutif pemasaran Normaadiah Abdul Rahman, 38, berkata Hari Malaysia ialah hari cuti umum yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk bersama keluarga dan orang tersayang.



“Berada di tengah-tengah kota di sini dengan begitu ramai orang di sekeliling saya, membuatkan saya bangga melihat betapa hebatnya kita sebagai rakyat Malaysia yang telah maju dan hidup dengan harmoni dan saling memahami perbezaan kita,” katanya. –BERNAMA

0 Response to "Seluruh Negara Raikan Hari Malaysia Ke-51"

Post a Comment